Kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih
kawan. Rakan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa
kemudaratan. Persahabatan Nabi Muhammad S.A.W dengan Saidina Abu Bakar adalah
ikatan persaudaraan yang perlu dicontohi umat Islam.
Mereka sama-sama terbabit dalam perniagaan sehingga menjadi
sahabat karib. Kedua-duanya mempunyai akhlak mulia, sama haluan dalam perjuangan
sehingga terjalin kasih sayang dan kemesraan.
Persahabatan Rasulullah S.A.W dengan Abu Bakar adalah contoh
terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia sewajarnya dijadikan
panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik. Keutamaan Abu Bakar di mata
Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud: "Jika ditimbang
keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya, nescaya akan berat lagi
keimanan Abu Bakar." [Hadis riwayat al-Baihaqi]
Rasulullah S.A.W juga meluahkan isi hatinya kepada Abu Bakar
seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang
Dijaminkan Masuk Syurga, katanya:
"Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku!
Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah
membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika
orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku
sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun
sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat
olehmu."
Allah S.W.T memilih Abu Bakar sebagai teman karib Rasulullah
S.A.W dalam mendokong usaha dakwah amat bertepatan sekali. Mencari kawan yang
baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan. Rasulullah S.A.W bersabda yang
bermaksud: "Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan
seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin
memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat
mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu
atau kamu dapat mencium baunya yang busuk." [Hadis riwayat al-Bukhari
dan Muslim]
Rasulullah S.A.W juga telah menggariskan beberapa
perkara bagi memilih teman atau kawan yang baik, antaranya : Hendaklah
bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman.
Sabda Baginda bermaksud: "Jangan kamu bersahabat
melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada
orang yang bertakwa." [Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]
1) Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan
akhlaknya
Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Jauhilah
kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya."
Sabda Baginda lagi : "Seseorang itu berada atas cara
hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang
didampinginya." [Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud]
2) Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar
Ubaidah Ibn As-Samit berkata: "Rasulullah S.A.W
mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang,
yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada
bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja kami
berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina,
semata-mata kerana Allah." [Hadis riwayat Muslim]
3) Membantu kawan ketika kesempitan
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Seorang
Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan
tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya,
sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan
melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan
sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada
hari kiamat." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Begitulah antara saranan-saranan Rasulullah
S.A.W kepada kita untuk memilih rakan yang benar-benar ikhlas
dan baik untuk dijadikan teman. Sesungguhnya manusia sering lupa dan justeru
itu punyai rakan yang baik serta sering mengingatkan kita kepada kebaikan dan
mencegah kita daripada melakukan kemungkaran adalah merupaakan satu bonus
untuk kita agar kita dapat menjadi insan yang benar-benar bertakwa.